Terkenangkan guru saya ketika di sekolah rendah yang selalu memeriksa kuku supaya sentiasa bersih dan pendek. Jika panjang dia akan tegur dan ketuk dengan ringan menggunakan pembaris. Jadi kini, saya mempratikkan semula qudwah yang mereka tunjukkan dahulu. Setiap hari Jumaat, sebelum mengajar Sains, murid saya pasti dengan gembiranya mengingatkan saya supaya memeriksa kuku mereka. Adakalanya saya akan tanya samada mereka gosok gigi atau tidak. Saya menerangkan pada mereka Islam menyuruh kita menjaga kebersihan.

Ada seorang murid saya, setiap kali diperiksa kukunya mesti panjang dan saya sering mengetuk jarinya dengan pen. Lama kelamaan saya hairan dan tanya kenapa tidak potong kuku. Katanya, di rumah tiada pengetip kuku dan kuku keluarganya ramai yang panjang. Untuk menyelesaikan masalah ini, saya meminta murid-murid lain yang ada banyak pengetip kuku di rumah supaya letak di kelas untuk semua orang guna. Mudah-mudahan membantu murid tersebut.

Kadangkala guru perlu faham latar belakang keluarga murid. Jika murid kelihatan tidak terurus, mugkin kerana dia membesar dalam lingkungan ahli keluarga yang begitu. Mereka tidak tahu apa-apa.

“Telah ditentukan waktu kepada kami memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya lebih daripada empat puluh malam.” (Riwayat Muslim) Imam asy-Syafi’e dan ulama-ulama asy-Syafi’eyah menyatakan sunat memotong kuku itu sebelum mengerjakan solat Jumaat seperti disunatkan mandi, gosok gigi, berharuman, berpakaian kemas sebelum pergi ke masjid untuk mengerjakan solat Jumaat.