Pengenalan

Mendidik merupakan suatu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan tanpa sebarang balasan, bukannya dianggap sebagai pengorbanan. Sehubungan itu, ibu bapa haruslah mengambil berat akan pendidikan anak-anak kerana ibu bapa adalah individu yang paling rapat dengan kanak-kanak berbanding orang lain serta merupakan salah satu tanggungjawab ibu bapa dalam membantu kecemerlangan mereka. Berikut merupakan antara peranan ibu bapa dalam membantu kecemerlangan kanak-kanak:

Menyediakan Ruang Belajar

Penyediaan ruang belajar yang selesa dan teratur hendaklah disediakan oleh ibu bapa supaya kanak-kanak akan lebih fokus dalam pembelajaran. Hal ini kerana apabila kanak-kanak mempunyai ruang atau kawasan tersendiri, mereka akan lebih bermotivasi dalam menyelesaikan tugasan mereka dengan baik. Ruangan yang disediakan juga seharusnya jauh daripada sebarang gangguan seperti televisyen, mainan dan seumpamanya supaya aktiviti pembelajaran yang dilakukan tidak terganggu dengan keadaan di persekitarannya. Selain itu, ibu bapa juga boleh mengajak kanak-kanak untuk menghias ruangan belajar mereka mengikut cita rasa sendiri bagi meningkatkan semangat belajar mereka. Buku-buku dan alat tulis mestilah diletakkan di tempat yang mudah diambil kanak-kanak. Penting sekali adalah memastikan pencahayaan yang secukupnya di ruangan belajar akan membantu kanak-kanak memberikan tumpuan sepenuhnya. Ruang belajar yang ceria, bersih dan teratur mampu merangsang minat dan semangat kanak-kanak untuk terus belajar.

Sentiasa Berhubung dan Berbincang dengan Pihak Sekolah

Suatu hakikat yang wajar diterima ialah ibu bapa hendaklah selalu berhubung dan berbincang dengan pihak sekolah serta bertukar-tukar pendapat dengan guru-guru tentang anak-anak. Hal demikian, ibu bapa dapat mengetahui tentang perkembangan, tingkah laku dan apa sahaja permasalahan kanak-kanak. Perbincangan dan perkongsian yang dilakukan bersama pihak sekolah boleh membantu ibu bapa dalam menangani masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak selain mendorong ibu bapa untuk meningkatkan lagi kemahiran keibubapaan mereka. Wujudnya komunikasi dua hala antara ibu bapa dan guru dapat menjamin pendidikan kanak-kanak yang lebih baik serta membantu ibu bapa mempelajari tentang perkembangan awal kanak-kanak.

Memberi Dorongan dan Tunjuk Ajar 

Bagi mencapai sesebuah kecemerlangan dalam pendidikan, kanak-kanak akan memerlukan dorongan dan tunjuk ajar daripada ibu bapa dalam menempuhi segala rintangan yang mendatang. Sehubungan itu, ibu bapa hendaklah mengajar kanak-kanak daripada awal usia bagi merangsang perkembangan dan kemahiran mereka. Peribahasa juga menyatakan “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Dengan cara ini, kanak-kanak boleh memupuk diri untuk lebih berdikari dan bermotivasi dalam mencapai kejayaan. Sungguhpun begitu, belajar di rumah akan mengalami cabarannya di mana kanak-kanak kurang memberi tumpuan terhadap aktiviti pembelajaran dalam tempoh jangka masa lama. Maka, ibu bapa boleh memberikan mereka sedikit ganjaran selepas belajar seperti bermain, masak makanan kegemaran atau membenarkan menonton rancangan kegemaran lebih lama berbanding hari-hari yang lain. Penting juga kepada ibu bapa untuk memberikan pujian dan maklum balas positif kepada kanak-kanak supaya mereka lebih bersemangat untuk belajar dan meneroka perkara-perkara baru.

Merancang Aktiviti Pembelajaran Kanak-Kanak

Ibu bapa perlu merancang aktiviti kanak-kanak dengan membuat jadual belajar supaya kanak-kanak akan lebih konsisten terhadap pembelajarannya. Cara ini membolehkan ibu bapa untuk mengesan tahap kemajuan anak-anak mereka dengan berkesan. Tambahan pula, penetapan masa belajar di dalam jadual boleh dilakukan secara fleksibel seperti 3 jam pada waktu pagi dan 2 jam pada waktu petang atau malam bergantung kepada kelapangan ibu bapa terutamanya ibu bapa yang berkerjaya. Ibu bapa juga mestilah memberikan anak-anak waktu rehat dan tidur yang mencukupi supaya keesokan harinya anak-anak lebih bersemangat untuk memulakan aktiviti pembelajaran.

Kesimpulan

Kesimpulannya, strategi yang digunakan akan membantu ibu bapa sedikit sebanyak bagi mengajar kanak-kanak di rumah. Kanak-kanak dapat melihat peranan lain ibu bapa selain daripada menjaga dan mengasuh mereka. Kanak-kanak dapat melihat sisi lain ibu bapa yang mendidik mereka secara akademik. Ini dapat merangsang perkembangan emosi dan perapatan hubungan ibu bapa dan kanak-kanak.

Sumber

Amin (2017). Diperoleh daripada http://edup3033.aminteach.com/2017/02/27/strategi-pengajaran/ 

KLC Preschol. (2018, Julai). Cara Mewujudkan Persekitaran Pembelajaran Yang Positif Untuk Kanak-Kanak. Diperoleh daripada https://preschool.klceducation.asia/ms/blogs/how-to-create-a-positive-learningenvironmentfor-childrenZulrina. (2020). 15 Peranan Ibu Bapa Dalam Membantu Kecemerlangan Anak-anak. Diperoleh daripada https://bidadari.my/peranan-ibu-bapa-dalam-membantu-kecemerlangan-anakanak/